Header Ads

Status kes Awal, Scha dimaklum kepada mahkamah Disember

 Pasangan selebriti, Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya. - Foto ARKIB NSTP

Pasangan selebriti, Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya. - Foto ARKIB NSTP

KUALA LUMPUR: Status proses mediasi di antara pasangan selebriti, Awal Ashaari dan isteri, Scha Al-Yahya dengan sebuah syarikat mengenai jumlah ganti rugi pelanggaran kontrak, akan dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi pada 23 Disember ini.

Kes berkenaan membabitkan perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi jenama 'Bleu' dan 'Maroon' keluaran pasangan terbabit dengan syarikat pembekal tekstil, D' Haja (M) Sdn Bhd (D'Haja).

Ia kini dalam peringkat rayuan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan Awal dan Scha serta memerintahkan D'Haja membayar ganti rugi RM345,305.

Peguam, Azlan Abdul Razak yang mewakili pasangan berkenaan selaku plaintif , ketika dihubungi media, berkata kedua-dua pihak sepatutnya memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi mengenai perkembangan terbaharu proses mediasi itu, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, prosiding itu ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.

Jika kedua-dua belah pihak gagal mencapai penyelesaian, Mahkamah Tinggi akan menetapkan tarikh baharu untuk mendengar rayuan D'Haja.

Pada 27 Mac tahun lalu, Mahkamah Sesyen membenarkan tuntutan saman berkenaan selepas mendapati D'Haja gagal melaksanakan tanggungjawabya kerana gagal memastikan 20,000 botol minyak wangi plaintif berada dalam keadaan baik untuk diniagakan.

Mahkamah juga berpuas hati melalui imbangan kebarangkalian bahawa syarikat terbabit memungkiri perjanjian apabila gagal dalam tanggungjawab untuk menjaga reputasi Awal dan Scha.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan defendan membayar faedah sebanyak lima peratus, ganti rugi am RM10,000 dan kos sebanyak RM5,000.

Ia bagaimanapun membenarkan tuntutan balas D'Haja dan memerintahkan Awal dan Scha membayar RM55,000 kepada defendan, selepas mendapati plaintif memungkiri perjanjian dengan menjual sendiri minyak wangi itu ke Brunei.

Dalam tuntutan saman itu, plaintif mendakwa memasuki kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi 'Bleu' dan 'Maroon' dengan D'Haja pada 11 Oktober 2016 selama dua tahun sehingga 10 Oktober 2019.

Mereka bagaimanapun mendakwa, D'Haja gagal melaksanakan tanggungjawabnya selaras terma asas perjanjian, selain gagal memulangkan 3,215 botol minyak wangi yang dikatakan rosak, gagal menyediakan rekod transaksi jualan dan enggan membayar tuntutan kerugian itu.

Sehubungan itu, mereka menuntut sejumlah RM345,305 berserta faedah pada kadar lima peratus dari tarikh memfailkan tuntutan sehingga pembayaran penuh dan ganti rugi am.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.