KFA dakwa pengurusan lama manipulasi penyata gaji pemain
ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mendakwa pengurusan lama badan induk itu sebelum ini melakukan manipulasi ke atas penyata gaji pemain skuad Lang Merah sehingga ia berhutang hampir RM5 juta dengan dua badan berkanun.
Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihak terbabit dipercayai membuat dua penyata gaji pemain dengan pertama membabitkan kadar lebih rendah yang diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Katanya, penyata gaji sebenar atau kedua yang diberi kepada pemain kemudian akan turut menyatakan potongan LHDN dan caruman KWSP yang dibayar KFA selaku majikan kepada dua badan berkanun terbabit.
"Saya difahamkan dibuat dua penyata gaji (pemain), penyata gaji lebih rendah diberi kepada badan berkanun dan penyata sebenar diberi kepada pemain.
"Bagaimanapun, KFA pada waktu itu didapati gagal bayar potongan selepas pemain pergi ke pejabat badan berkanun terbabit dan tunjuk penyata sebenar terdapat potongan dibuat," katanya selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.
Terdahulu ketika sesi soal jawab, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad mendedahkan KFA berhutang kira-kira RM16 juta dan pengurusan baharu sudah membayar RM6 juta.
Beliau yang juga Setiausaha Kehormat KFA berkata, berikutan itu kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan berlaku pecah amanah dan salah tadbir urus dalam persatuan terbabit sebelum ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, laporan berkaitan manipulasi dalam penyata gaji terbabit sudah dibuat kepada LHDN dan KWSP serta tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pengurusan lama KFA.
"LHDN dan KWSP ada undang-undang sendiri dan boleh ambil tindakan ke atas orang yang bertanggungjawab dan jadi majikan pada masa itu. Akibatnya (dua penyata gaji) KFA kini berhutang dan terpaksa bayar hampir RM5 juta kepada badan berkanun terbabit," katanya.
Sementara itu, bekas Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris ketika dihubungi, memaklumkan akan mengadakan sidang media esok bagi menjawab kemelut pengurusan KFA terdahulu yang ditimbulkan pada sidang DUN Kedah itu.
Katanya, segala maklumbalas berhubung isu kewangan, logo, jersi dan wang sumbangan tabung Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) akan dijawab pada sidang media selepas sidang DUN esok.
Post a Comment