Pentingnya sektor swasta penentu pemulihan ekonomi
KUALA LUMPUR: Sektor swasta perlu memainkan peranan lebih aktif dan efektif dalam menentukan hala tuju rantau Asia Pasifik ke arah pemulihan ekonomi yang inklusif.
Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pewujudan peluang sama rata bagi perniagaan dan rakyat perlu dilaksanakan secara kolektif bagi mencapai pertumbuhan ekonomi mampan.
"Saya melihat ketika ekonomi global terus berkembang, peranan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) menjadi sangat penting.
"Justeru, ABAC perlu menjalinkan kerjasama erat dengan sektor swasta bagi memainkan peranan penting untuk mencetuskan pemulihan ekonomi serantau," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama secara maya pada Mesyuarat ABAC Ke-4 bersempena Sidang Kemuncak sempena Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 di sini, hari ini.
Azmin berkata, ahli APEC juga perlu mempertimbang untuk merangkumkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), wanita, masyarakat Orang Asli serta belia untuk mewujudkan peluang memastikan faedah perdagangan dan kemakmuran serantau terus dibahagi secara adil.
"Malaysia dan ekonomi APEC yang lain akan terus bekerjasama dengan pemimpin perniagaan dan sektor swasta untuk mendorong integrasi dan kerjasama ekonomi yang lebih besar di rantau ini.
"Dengan ini, saya yakin bahawa kita akan muncul lebih kuat, berdasarkan pembelajaran dan pengalaman setiap ekonomi," katanya.
Dalam ucapan sama, beliau menegaskan pandemik yang dihadapi di peringkat global itu memerlukan tidak balas tersusun.
Katanya, batasan pergerakan yang berlaku di seluruh wilayah APEC mengakibatkan kesan terhadap ekonomi yang tidak diingini.
"Anggota APEC harus menyedari bahawa pentingnya inovasi, hubungan dan keperluan untuk mengembangkan infrastruktur digital kukuh secara bersama dengan persekitaran pengawalseliaan, yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi berterusan dan inklusif," katanya.
Azmin berkata, Malaysia berjaya menangani krisis COVID-19 dengan baik, tidak hanya dari perspektif kesihatan awam, malah dari segi menghadapi cabaran sosio-ekonomi.
"Sebagai negara perdagangan yang berjaya menguruskan krisis secara berterusan, Malaysia mewujudkan peluang bagi memperkemaskan ekonomi, usaha pendigitalan lebih baik dan meningkatkan aliran pelaburan dalam industri serta perkhidmatan bernilai tinggi," katanya.
Post a Comment