Header Ads

Niat nak tolong kawan, rugi RM224,840

 Gambar hiasan

Gambar hiasan

SEREMBAN: Niat baik seorang pesara guru dari Taman Seremban Jaya di sini untuk membantu rakan lamanya tidak kesampaian apabila kerugian RM224,840 diperdaya sindiket African Scam

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd Ghani, berkata, mangsa yang berusia 63 tahun itu dilaporkan menerima panggilan daripada rakan lamanya yang kini menetap di Liverpool, England.

Katanya, rakan lamanya itu menghubungi untuk meminjam sejumlah wang bagi tujuan rawatan anaknya yang kini sedang sakit.

"Mangsa bersetuju untuk membantu rakannya itu dan membuat pemindahan wang ke akaun Bank Rakyat di nombor akaun 220122278723.

"Selepas itu, rakan mangsa dikatakan membayar sebanyak 10,000 pound sterling (RM1,843) tetapi terdapat kesilapan jumlah daripada bank menjadi sebanyak 100,000 pound sterling (RM18,430).

"Mangsa kemudian dihubungi oleh individu yang mengaku sebagai Pegawai Bank Negara meminta mangsa untuk membuat pembayaran sebagai penalti, insurans dan perkhidmatan sekuriti atas kesilapan itu bagi membolehkannya mendapatkan semula jumlah asal," katanya dalam dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aibee berkata, mangsa membuat beberapa transaksi pemindahan wang antara 7 hingga 24 September lalu ke akaun 16950252579 atas nama Masrinih Mahali dan juga ke akaun 11501017766 atas nama Nurul Aini Abdul.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan transaksi yang dilakukan mangsa adalah sebanyak RM224,840.

"Bagaimanapun, mangsa menyedari dia menjadi mangsa penipuan sindiket apabila proses pembayaran semula tidak berlaku.

"Mangsa membuat laporan di Balai Polis Senawang pada 16 November lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.