Wenger kongsi tips cara tackle Ozil
LONDON: Arsene Wenger berkongsi tips kepada Mikel Arteta cara dia mengendalikan Mesut Ozil di Arsenal.
Pemain Jerman itu tidak beraksi walaupun seminit untuk The Gunners pada musim ini dan bekas pengendali ikonik itu mendedahkan bagaimana dia mengeluarkan potensi sebenar pemain tengah itu.
Pemain berusia 32 tahun itu diketepikan daripada skuad Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Europa dengan dia kini dijangka meninggalkan pasukan itu bulan depan.
Dengan kariernya di Emirates tampak kian berakhir, Wenger menjelaskan bagaimana untuk membolehkan pemain itu beraksi pada tahap yang terbaik.
"Dia tidak sukar untuk dikendalikan. Dia adalah pemain yang memiliki kualiti istimewa sebagai pemain yang kreatif dan perlu sentiasa menikmati permainannya.
"Dia pemain yang berseni dan pemain seperti ini sedikit sensitif. Mereka perlukan sokongan dan persekitaran untuk membantu mereka memberikan yang terbaik."
Wenger turut mendedahkan keseimbangan adalah kunci untuk menurunkan Ozil dalam kesebelasan utama.
"Anda ada dua cara untuk melihat pasukan bola sepak. Anda pastikan semua orang melakukan perkara yang sama, intensiti yang sama, tugas bertahan yang sama atau anda perlu berkompromi.
"Anda ada beberapa pemain kreatif dalam pasukan yang kurang membantu ketika bertahan tetapi anda perlu membentuk pasukan di samping pemain itu untuk menutup kekurangan itu.
"Itulah yang perlu anda fikirkan," katanya. -Agensi
Post a Comment