Namewee palsukan permit Filem Ba**
KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) membuat laporan polis terhadap pengarah filem, Wee Meng Chee atau Namewee atas dakwaan memalsukan dokumen permit Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).
Setiausaha Agung SENIMAN, Hafiz Nafiah, berkata persatuan menggesa pihak berkuasa menahan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas Namewee yang didakwa menerbitkan filem berunsurkan perkauman berjudul Babi.
"Saya mewakili pihak SENIMAN membuat laporan polis terhadap Namewee atas beberapa faktor. Pertamanya, pemalsuan dokumen oleh syarikat yang menerbitkan filem Babi.
"Ketika Namewee membuat permohonan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), dia menggunakan Sekolah sebagai judul filem, namun, kemudian menukarkannya kepada Babi.
"Sekiranya dia mahu menukar judul, dia perlu membuat permohonan sekali lagi tapi dia tidak berbuat demikian.
"Selain itu, SENIMAN memohon pihak berkuasa menahan dan menyiasat Namewee disebabkan tingkah lakunya menerbitkan filem berunsur perkauman.
"Ini termasuk filem Babi yang memaparkan jalan cerita kononnya Malaysia mempunyai masalah atau krisis kaum," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati di sini, hari ini.
Hafiz berkata, SENIMAN kesal apabila filem Babi ditayangkan di luar negara, secara tidak langsung mencalarkan imej dan maruah Malaysia.
"Setahu saya, filem itu sudah ditayangkan di Taiwan. Ini boleh memburukkan imej negara kita sedangkan kita semua hidup dalam aman damai," katanya.
Sehubungan itu, SENIMAN menggesa Jabatan Imegresen Malaysia
mengambil tindakan sewajarnya serta meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat saluran YouTube Namewee dan sebarang video atau bahan berkaitan filemnya.
"Perkara ini perlu dibendung sebelum filem Babi ditayangkan lebih meluas di luar negara.
"SKMM perlu menyekat akaun media sosial Namewee dan kandungan berkaitan filem terbabit daripada diakses rakyat Malaysia melalui Facebook, Youtube dan Instagram miliknya," katanya.
Filem Babi yang dikatakan ditayangkan di Taiwan pada 20 November lalu,
berkisar kejadian keganasan dan rusuhan kaum yang didakwa berlaku di sebuah sekolah menengah di selatan Semenanjung Malaysia pada 2000.
Post a Comment