Kak Noor izin kisah hidup dijadikan drama
KUALA LUMPUR: Penerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, Noor Kumalasari sudah memberi lampu hijau kepada syarikat produksi, Zeel Production menerbitkan drama mengenai kehidupan dan kerjayanya sebagai anak seni.
Adik kepada penghibur antarabangsa, Anita Sarawak ini memberitahu, cadangan menerbitkan drama berkenaan sudah lama diusulkan kepadanya.
"Saya difahamkan TV3 berminat dengan cadangan syarikat produksi. Saya tidak keberatan menyokong kesungguhan produksi berkenaan.
"Drama ini berkisar 100 peratus kehidupan saya sebagai anak seni iaitu sebagai peragawati, pelakon, penyanyi dan pengacara," katanya kepada BH Online.
Malah, ibu kepada empat cahaya mata yang popular pada era 1970-an dan 1980-an ini tidak lepas tangan dalam mencari pelakon yang bakal membawakan watak dirinya.
"Pastinya, untuk mencari pelakon yang akan menghidupkan watak utama, saya akan sama-sama mencari bersama syarikat produksi.
"Saya menanti kehadiran pelakon yang ada personaliti, versatil dan memiliki ketinggian sesuai melakonkan watak diri ini.
"Pelakon itu perlu berambut panjang. Kalau diimbas kembali, saya gemar melakukan eksperimen dengan rambut. Sekejap rambut pendek, sekejap panjang," katanya.
Noor Kumalasari berkata, pelakon yang bakal membawa watak dirinya perlu menyelami falsafah menjadi anak seni.
"Harus sedar setiap bidang yang diceburi bersebab. Saya buat bukan kerana mengejar glamor.
"Sebaliknya, lebih kepada soal kepuasan dan saya amat mementingkan kesempurnaan," katanya pernah diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Seri Angkasa dua tahun berturut-turut iaitu pada 1983 dan 1984.
Dalam perkembangan lain, Noor Kumalasari tahu filem Rahsia arahan Othman Hafsham lakonannya bersama Allahyarham Shukery Hashim pada 1987, dibikin semula dengan menyatukan Nabila Huda dan Fikry Ibrahim.
Bintang filem Menanti Hari Esok, Tiada Esok Bagimu dan Esok Untuk Siapa itu mengucapkan selamat tinggal kepada karier seni selepas berhijab pada 1998.
Bagaimanapun, Noor Kumalasari muncul dalam telefilem Pintu No 9 arahan Fadzil Teh yang mengangkat kisah arwah ibu bapa, Allahyarham Datuk S Roomai Noor dan Allahyarham Datin Umi Kalthum di Tanah Suci Makkah dan Madinah, beberapa tahun lalu.
Sementara itu, beberapa pelakon seperti Mimi Lana disebut-sebut calon sesuai melakonkan watak Noor Kumalasari dalam drama berkenaan.
Post a Comment