Akur PKPB : Konsert 4G's ditangguh
KUALA LUMPUR: Konsert 4G's yang menggabungkan empat penyanyi lelaki popular iaitu Hazama, Tomok, Akim dan Black yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur selama dua malam mulai lusa, ditunda.
Keputusan itu diambil penganjur, Belbis Sdn Bhd selaras Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur dilanjutkan sehingga 20 Disember depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Belbis Sdn Bhd, Afandy Alias, berkata, syarikat meminta maaf kepada peminat atas penangguhan konsert berkenaan.
"Kami memohon maaf kepada peminat dan semua pihak yang terbabit dengan konsert itu.
"Penangguhan ini terpaksa dilakukan berikutan penularan COVID-19 yang belum reda malah mencatat jumlah kes tinggi setiap hari terutama Lembah Klang.
"Pihak berkuasa melarang penganjuran acara membabitkan penonton di lokasi atau negeri yang dikenakan PKPB.
"Justeru, atas faktor keselamatan dan kesihatan peminat, artis, pemuzik serta kru, kami terpaksa menangguhkan Konsert 4G's," katanya kepada BH Online.
Pada awalnya, Konsert 4G's dijadual berlangsung dua malam mulai 17 April lalu. Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), acara itu ditangguhkan kepada lusa dan Sabtu.
Afandy berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; IB dan pelbagai pihak lain sebelum membuat keputusan menangguhkan acara berkenaan.
Tambahnya, tarikh baharu Konsert 4G's akan diumumkan kemudian dengan melihat perkembangan semasa.
"Sekali lagi penganjur memohon maaf atas penangguhan ini dan berjanji Konsert 4G's berlangsung segera apabila situasi kembali stabil.
"Penganjur memohon mendoakan semoga keadaan segera pulih. Kita juga mendoakan kesihatan dan kesejahteraan semua peminat serta rakyat Malaysia," katanya.
Post a Comment